Archive for the ‘Artikel & Tazkirah’ Category

::Pendirian MPKJ Berhubung Isu Syria ::

Di saat umat Islam sedang sibuk menyambut Valentine Day,umat Islam di Syria sedang dihentam dan diperlaku seperti binatang. Rejim Al-asad membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa,anak kecil disembelih tanpa ada sebarang titik dosa,rakyat ditembak secara membabi buta. Rejim Al-asad sudah melampaui batas kemanusiaan,rakyat dibunuh kerana mereka mengatakan kezaliman itu adalah dosa dan rakyat hanya menuntut satu keadilan buat mereka.

Oleh itu,saya mewakili Majlis Pelajar Kedah Jordan (MPKJ) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim yang tidak berperikemanusiaan ini dan menyeru umat Islam seluruh dunia amnya dan sahabat-sahabat sejordan khususnya bangkit membantu saudara seakidah di sana walaupun dengan tembakan doa. Mohonlah kepada Yang Esa dalam setiap doa dan sujud kalian. Walaupun kita tidak berada di sana,biarlah keperitan itu kita rasai bersama,berilah bantuan semaksimum mungkin yang boleh buat saudara kita. Biarpun hanya dengan sepotong doa dibaca,itulah sumbangan kita yang termampu buat mereka. Janganlah hanya berdiam diri kerana sifat Mukmin itu tidak rela saudaranya kesusahan sendirian. Percayalah,doa orang Mukmin itu adalah senjata yang paling ampuh. Salam dari Jordan.

 

YDP MPKJ,

ATIQULLAH MURSYID BIN ABDUL HALIM

::Ubah Kata-Kata, Ubah Minda ::

Diri kita sebenarnya memerlukan sesuatu yang positif. Dari kata-kata yang positif, ianya akan melahirkan minda yang positif. Apabila minda kita positif, semua perkara yang sukar, kita akan lihat dari pelbagai sudut yang positif dari posisi yang berbeza. Lihat orang yang berjaya. Setiap hari, mereka sentiasa mengungkapkan perkara-perkara yang positif. Mereka akan sentiasa bercerita tentang kekayaan, kejayaan, kesihatan, pelancongan, perkahwinan dan lain-lain. Inilah yang membentuk jiwa mereka. Kalau tak percaya, cuba baca kisah-kisah kejayaan yang ada pada seseorang. Pasti ada yang positif pada mereka. Ubah kata-kata anda. Itu yang akan mengubah minda. Minda itu akan mengubah kehidupan kita.

Sekian, sedikit perkongsian.

:: KALAM URDUN BUAT MUSLIMAT ::


Aduhai muslimat ! Tidakkah kau sedar kepincangan semakin membiak menjangkiti masyarakat di sekelilingmu? Kelakuan aneh dulunya, kini dianggap biasa. Golongan mulia dipandang hina. Malahan fatwa ulama mula diperlekehkan. Sedangkan ulama inilah pewaris nabi- nabi. Lihatlah betapa dahsyatnya dunia pada hari ini. Sedarkah engkau musuh- musuhmu kini sedang mempermainkanmu? Musuh- musuhmu gelak meraikan kemenangan setelah sekian lama memendam rasa hasad dengki terhadap agamamu.

Ah! Nyahkan semua ini daripada terus menyentuh tubuhku. Aku meluat melihat kaun hawa berpakaian ketat, nipis, dan singkat terus berjalan di atas tubuhku. Kulit yang putih bersih dicemari corak tatu yang menjijikkan. Tidak kurangnya kelakuan zina semakin berleluasa di sana- sini. Sudahkah mereka lupa, dahulunya kaum hawa dipandang hina oleh masyarakat jahiliyyah lalu Islam bangkit menaikkan taraf  hawa yang dianggap hina itu? Tapi pada hari ini mereka menjatuhkan maruah hawa dengan tangan mereka sendiri. Dimanakah perananmu wahai mukminat?

Bangunlah wahai mukminat! Kau perlu mengatur langkah untuk mengembalikan maruah kaum hawa yang kian kecundang. Kau bimbinglah mereka yang jahil. Mereka hanya dilahirkan sebagai umat Islam hakikatnya tidak mengerti apa tuntutan Islam yang sebenar. Wahai mukminat! Tunjukkanlah kepada mereka model seorang muslimah sejati. Cara pemakaian yang menutupi seluruh batasan auratmu. Sifat malu disemaikan dalam jiwa sanubarimu. Kalam mutiara hikmah menjadi perhiasan pertuturanmu.

Ingatlah wahai muslimat! Musuhmu sentiasa berada dimana- mana. Boleh jadi saudara rapatmu itu musuh dalam selimut. Sedangkan Nabi Muhammad terpaksa berdepan dengan bapa saudaranya sendiri Abu Jahal. Asiah berdepan dengan Fir’aun suami tercinta yang jahil tentang agama Islam. Nabi Nuh terpaksa  berdepan dengan anak dan isterinya yang berkeras mempertahankan agama nenek moyang yang sesat. Berhatilah tatkala berhadapan dengan mereka. Tabahkan hatimu berhadapan dengan mereka. Kuatkan keimananmu. Yakinilah janji- janji ALLAH terhadap hambaNYA.

Wahai Mukminat! Bangkitlah! Tingkatkan ilmu pengetahuan kerana itulah bekalanmu ketika berdepan dengan masyarakatmu. Apabila kau benar- benar tidak mengetahui akan suatu hukum, katakanlah ‘tidak tahu’, jangan kau malu kerana itu menunjukkan kau tahu apa yang kau tidak tahu. Sedangkan mereka yang jahil itu tidak tahu akan kejahilan mereka. Jangan kau meletakkan hukum sewenang- wenangnya. Dosamu sendiri tidak sanggup kau pikul, apatah lagi dosa pengikutmu kelak.

 

Tatkala jiwamu mula kendur menghadapi cabaran kehidupan, hampirkanlah dirimu dengan ayat- ayat Al- Quran. Hayatilah kisah perjuangan nabi dan para auliya’. Jadikanlah ia sebagai pedoman hidupmu. Ingatkah lagi Siti Khadijah yang dahulunya kaya- raya? Berkorban seluruh hartanya demi Islam dan suami tercinta. Hatta tulang belulang mahunya dikorbankan. Tidaklah rugi jika kau menamatkan kisah hidupmu dalam memperjuangkan agama Islam. Malahan rugilah mereka mensia-siakan hidup mereka kerana aku.

Wahai mukminat! Lakukanlah sesuatu sebelum ajalku tiba. Kudrat dan jasadku tidak mampu menampung aku untuk terus berputar di cakerawala. Apalagi nyawaku dicabut maka putuslah segala amalan. Tatkala itu tangisan taubat tidak lagi dihiraukan. Bangkitlah wahai mukminat!

:: PENGORBANAN ::

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Tatkala umat islam dari segenap pelusuk dunia selesai menunaikan ibadah haji,rukun yang kelima dalam kukuhan asas keimanan dan keislaman seorang muslim. Tatkala umat islam sedang bersesak-sesak dalam melakukan rukun haji iaitu tawaf mengelilingi Kaabah tujuh pusingan sambil bertahmdi, bertahlil dan bertakbir. Marilah sama-sama kita menyingkap sejarah nabi Ibrahim a.s tatkala diperintahkan untuk meninggalkan isteri dan anaknya, Ismail a.s di suatu lembah yang kering konting. Peristiwa yang dirakamkan oleh Tuhan di dalam Al-Quran :

رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

( Surah Ibrahim, 37 )

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

Bagaimana kita melihat dan     menafsirkan peristiwa ini?  Pengorbanan . Nabi Ibrahim a.s tidak akan mampu melakukan perintah ini andai dirinya tidak memahami istilah PENGORBANAN. Isterinya tidak akan mampu untuk berkorban andai dia tidak memahami erti berkorban bagi seorang pejuang dan daie’. Sesungguhnya pengorbanan tidak mampu dilakukan oleh orang yang sentiasa berkira-kira. Andai hendak berkorban sedinar sudah berkira, bagaimana mungkin seorang pejuang dan daie’ sanggup berkorban seluruh harta, tenaga, masa bahkan nyawa demi islam.

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

( Surah As-Saffat, 102 )

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.

Bagaimana kita mahu tafsirkan peristiwa nabi ibarahim a.s tatkala diperintah untuk menyembelih anaknya Ismail? Pengorbanan. Inilah erti pengorbanan yang sebenar. Bukanlah susah hendak meletakkan pisau di leher anak. Namun lebih susah hendak mengorbankan rasa cinta terhadap makhluk demi khalik. Itulah erti korban yang sebenar. Allah ingin mengajarkan bahawa seorang pendakwah harus membuang sifat cinta terhadap yang fana. Seorang pendakwah harus sedia berkorban segalanya demi Penciptanya. Kesongsangan akan berlaku tatkala istilah korban disalah ertikan. Andai kita hanya melihat korban hanya pada daging yang dilapah pada setiap kali Hari Raya Aidiladha, melihat korban hanya pada takbir yang dilaungkan selama beberapa hari. Sesungguhnya korban mempunyai maksud dan erti yang lebih besar. Daging dan darah yang dikorbankan itu tidak sesekali sampai kepada Allah, yang pasti hanya taqwa dan pengorbanan yang akan sampai di sisi Yang ESA.

لَنْ يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلا دِمَاؤُهَا وَلَكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنْكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

( Surah Al-Hajj, 37)

“ Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya ”

Kini, ramai yang suka menuturkan istilah PENGORBANAN sedangkan mereka sendiri liat untuk berkorban. Pengorbanan tiada nilai pada istilah dan teori, pengorbanan itu bermakna pada aplikasi dan praktikalnya. Seorang doktor harus mengorbankan masanya untuk pesakitnya. Seorang pelajar mengorbankan masa dan fikirannya untuk ilmu dan pelajarannya. Seorang ibu berkorban nyawa demi anaknya. Seorang ayah berkorban tenaga demi keluarganya. Sesungguhnya seluruh kehidupan ini merupakan sebuah pengorbanan.

Usahlah mengeluh andai pengorbanan kita tidak dihargai manusia. Usahlah merasa sedih andai manusia tidak menghargai penat lelah kita. Biarlah korban itu semata-mata demi Allah. Harganya amat mahal untuk dijual istilah korban itu buat manusia. Jual lah pengorbanan itu kepada Yang Maha Kaya. Nescaya kamu akan beruntung. Lihatlah bagaimana pengorbanan nabi Ibrahim a.s telah meninggalkan impak dan kesan buat umat islam pada zaman kini. Percayalah, pengorbanan yang ikhlas akan melahirkan satu pertumbuhan dan keabadian. Dahulunya hanya sang isteri dan Ismail a.s ditinggalkan berdua di tanah berkah itu, namun kini tanah berkah itu tidak lagi dihuni berdua, tidak lagi kering kontang. Tanah barakah itu kini menjadi tumpuan segenap pelusuk dunia saban tahun. Berjuta-juta umat islam menjadi tetamunya saban tahun. Lihatlah pertumbuhan dan keabadian yang dijanjikan Allah buat sebuah pengorbanan seorang nabi. Sungguh, janji Tuhanmu itu benar.

::PESANAN DARI MIMPI RASULULLAH S.A.W::

Daripada Abdul Rahman Bin Samurah R.A berkata, Nabi Muhammad saw bersabda: “Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan…”

1. Aku telah melihat seorang daripada umatku telah didatangi oleh malaikat maut dengan keadaan yang amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBU BAPANYA.

2. Aku melihat seorang daripada umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyeksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka dia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan menggunakan rantai yang diperbuat daripada api neraka jahanam yang dimasukkan ke dalam mulutnya dan dikeluarkan rantai tersebut melalui duburnya oleh malaikat Ahzab, tetapi oleh kerana SOLATNYA YANG KHUSYUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga dia dihalang daripada meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T memberinya minum hingga dia merasa puas.

6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpul, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil memimpin ke kumpulanku seraya duduk di sebelahku.

7. Aku melihat seorang daripada umatku berada di dalam keadaan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan bingung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH S.W.T lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang-benderang.

8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidak pun membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicaralah mereka dengannya.

9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH S.W.T lalu menabir muka dan kepalanya daripada bahaya api tersebut.

BERSABDA RASULULLAH SAW, “SAMPAIKAN PESANKU KEPADA YANG LAIN WALAUPUN DENGAN SEPOTONG AYAT”

::SYUKUR::

Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman, maka mengapa mereka tidak bersyukur?“. (Yaasin: 73)

Dan Allah mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), tetapi sedikit antara manusia yang bersyukur.” (As-Sajadah: 9)

Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah ni’mat kepada kamu dan jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah pedih.” (Ibrahim: 7)

Hadis Nu’man bin Basyir r.a., bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda “barangsiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, nescaya tidak akan bersyukur kepada yang banyak; barangsiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, nescaya tidak akan bersyukur kepada Allah Taala.”

Bersyukur kepada manusia bermaksud menghargai dan berterima kasih kepada manusia yang banyak menabur jasa dan bakti kepada kita tanpa diminta dan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Mereka yang dimaksudkan ialah seperti ibu-bapa kita, para guru dan Rasulullah SAW. Di samping memuji-muji dan mengagung-agungkan jasa kebaikan mereka, kita juga dituntut agar sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan untuk mereka.

Erti Syukur secara mudah ialah berterima kasih dan mengenang jasa. Orang yang tak bersyukur ialah orang yang lupa diri dan tak mengenang jasa.

Sesungguhnya Nabi SAW mengerjakan solat malam hingga kakinya bengkak-bengkak. Aisyah ra. bertanya kepada Baginda: Mengapa melakukan hal ini wahai Rasulullah, pada hal Allah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang ? Baginda menjawab: Salahkah jika aku ingin menjadi hamba yang bersyukur ?” (HR Bukhari).

Cara bersyukur atau berterima kasih atas kurnia Allah ialah dengan jadikan diri kita orang yang bertaqwa, banyak beribadah serta selalu memuji Allah dengan lisan dan di dalam hati.

:: IBRAH NUZUL QURAN ::

                     

ALLAH SWT memuliakan Ramadhan melebihi bulan lain dengan memilih satu malam penuh keberkatan daripada malam Ramadan sebagai masa paling sesuai untuk diturunkan kitab suci al-Quran.

Selain al-Quran, Allah menurunkan beberapa kitab suci lain pada bulan mulia ini seperti suhuf Nabi Ibrahim diturunkan pada permulaan Ramadhan, Taurat hari keenam dan Injil pada hari ketiga Ramadhan.

Berdasarkan peristiwa penurunan kitab suci (al-Samawi) pada bulan Ramadhan, jelaslah betapa agung dan mulianya bulan ini.

Sesungguhnya, penurunan (nuzul) al-Quran adalah peristiwa besar dan agung. Ia cukup hebat jika dibandingkan dengan peristiwa lain pernah berlaku di alam ini.

Justeru, setiap umat Islam seharusnya mengingati dan merenungi peristiwa nuzul al-Quran ini kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah.

Selain itu, ia adalah asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad serta keyakinan bahawa Islam itu adalah agama benar, malah satu-satunya agama diredai Allah.

Sebelum al-Quran diturunkan manusia hidup dalam kesesatan bertuhankan hawa nafsu dan menyekutukan Allah. Selepas al-Quran diturunkan, kesesatan disinari kebenaran dan hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada hidup bertuhankan Allah.

Dalam erti kata lain, penurunan al-Quran membawa rahmat perubahan kepada kehidupan dan ketamadunan manusia.

Firman Allah bermaksud,

Ramadhan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil). (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Berdasarkan ayat di atas, wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara langsung mengangkat martabat Baginda sebagai rasul Allah dan menjadi rahmat bagi sekalian alam.

                                     

Petunjuk (al-Quran) dibawa Baginda SAW ini membawa perubahan besar kepada kehidupan umat manusia, khususnya masyarakat Arab jahiliah dan perubahan itu mencakupi pelbagai bidang dan aspek:

Aspek keagamaan. Bangsa Arab Jahiliah menyembah patung dan batu berhala serta menyembelih binatang ternakan di hadapan patung itu sebagai korban untuk memuliakannya.

Apabila datang agama Islam (al-Quran) membawa petunjuk dan pedoman daripada Allah, maka kehidupan jahiliah terus lenyap kerana al-Quran mengatur kehidupan seperti percaya kepada keesaan Allah, hari akhirat, syurga, neraka, mengenai ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Jelaslah, ajaran al-Quran melarang keras amalan penyembahan patung, berhala, matahari, bulan atau makhluk lain selain Allah. Sebaliknya mereka diajar bahawa yang berhak disembah hanyalah Allah.

Aspek kemasyarakatan. Bangsa Arab sebelum Islam tidak berdisiplin dan tidak taat kepada pemimpin tetapi diturunkan al-Quran, keadaan itu berubah. Islam menyedarkan mereka erti dan pentingnya disiplin serta ketaatan dalam kehidupan.

Bagi membentuk sebuah masyarakat yang aman dan harmoni, al-Quran memberi petunjuk dan garis pemisah mengenai kriteria antara akhlak terpuji dengan akhlak tercela.

Selain itu banyak lagi dasar umum masyarakat dibawa oleh Islam seperti hubungan antara individu dengan individu, antara individu dengan masyarakat, antara suatu kelompok masyarakat dengan kelompok lainnya, undang-undang kekeluargaan sehinggalah kepada soal kenegaraan.

Islamlah juga yang mula mengangkat kedudukan kaum wanita dengan memberikan hak kepada mereka sesuai dengan kewanitaannya. Di samping itu, Islam menegakkan pula ajaran persamaan antara manusia dan membanteras perhambaan.

Aspek siasah (politik). Bangsa Arab sebelum Islam berada dalam keadaan berpecah-belah, ‘asabiyyah (kesukuan), berpuak dan kabilah yang sempit. Yang wujud ketika itu kaum Arab, Parsi, Tauran dan kaum lain.

Keadaan itu berubah apabila turunnya al-Quran membawa ajaran sebenar. Semua umat manusia diseru supaya meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disaran supaya bersatu membentuk satu ummah.

Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku. (Surah al-Anbiya’, ayat 92).

Begitulah Islam berjaya mengatasi sikap taksub bangsa dan warna kulit, malah menyeru semua bangsa supaya bersatu menjadi satu ummah bersaudara dan tidak lagi mengenal kelebihan kecuali berdasarkan kekuatan iman serta takwa kepada Allah.

Aspek ekonomi. Al-Quran memberikan batasan pemilikan bagi individu, masyarakat dan negara. Telah ditentukan perkara yang boleh dimiliki oleh individu dan dilarang.

Peraturan yang terdapat dalam al-Quran memberikan petunjuk pelaksanaan mengenai jaminan pemenuhan keperluan asas setiap individu menurut kadar dan dalam keadaan seadil-adilnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, penurunan al-Quran adalah peristiwa agung dan terbesar pada Ramadan. Penurunannya telah membawa perubahan besar kepada alam ini dan berperanan mengubah kehidupan umat manusia pada masa lampau, kini dan hadapan.

Jelaslah, melalui peristiwa besar dan agung ini, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan teratur dengan berpandukan petunjuk serta pedoman yang diwahyukan Allah.

.: Marilah sama kita hayati dan mengambil ibrah dari peristiwa nuzul al-quran yang bakal tiba tidak lama lagi :.

Tag Cloud